Jumaat, 16 September 2011

Kerugian kes tipu internet RM2.54j

Guna ubah modus operandi elak dikesan


KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat kegiatan sindiket penipuan perbankan internet dipercayai didalangi warga asing mencapai RM2.54 juta dari Januari hingga Julai lalu, berbanding RM1.01 juta sepanjang tahun lalu.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu diperoleh menerusi data pusat perkhidmatan pelanggan dikenali BNMLINK dan BNMTELINK yang merekodkan aduan penipuan pelanggan bank dari seluruh negara.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa mengalami kerugian tetapi enggan membuat laporan kerana malu selain bimbang imej tercalar berikutan ada di kalangan mereka terdiri daripada ahli politik, profesional dan akademik.

Katanya, peningkatan kerugian disebabkan kelicikan sindiket yang menggunakan pelbagai modus operandi yang sentiasa berubah seiring perubahan teknologi maklumat bagi memperdaya dan mengeliru orang ramai termasuk menyamar sebagai polis, pegawai bank dan pegawai BNM.

Selain menggunakan kaedah ‘phishing’ iaitu mencuri maklumat ketika pelanggan mengakses laman web perbankan internet palsu, sindiket berkenaan juga menggunakan teknik ‘spoofing’ iaitu memalsukan nombor telefon digunakan untuk menghubungi mangsa bagi menyembunyikan identiti.

“Kaedah ‘spoofing’ juga membuatkan nombor pemanggil yang tertera kelihatan seperti nombor bank komersial, nombor agensi kerajaan dan nombor BNM.
“Mereka yang menipu sangat bijak kerana pandai berlakon seperti wakil bank, syarikat kad kredit dan pegawai kerajaan untuk meyakinkan mangsa mendedahkan maklumat perbankan, kata laluan dan maklumat sulit lain.

“Sindiket juga mengupah ‘runner’ terdiri daripada pelajar atau penganggur untuk mengguna akaun bank mereka sebagai transit bagi tempoh singkat bagi transaksi wang diperoleh daripada akaun mangsa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

 Sumber: Berita Harian

Oleh Faiza Zainudin dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my

2 ulasan :

Unknown berkata...

so ,
sekarang kene lebih berhati2 dlm sbrg urusan .

E1-tribe berkata...

bahaya betul..... harap internet security bertambah cekap menghalang pishing..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails