Isnin, 22 Mac 2010

Polis buru tukang urut rogol nenek

KOTA BHARU 21 Mac - Polis sedang memburu tukang urut yang dipercayai merogol seorang nenek ketika mangsa mendapatkan rawatan di sebuah rumah di Kampung Teluk dekat sini pada pertengahan Januari lalu.
Suspek dikatakan mengambil kesempatan merogol wanita yang berusia 65 tahun itu ketika mangsa yang menghidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu menerima rawatan dengannya.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian itu disedari selepas mangsa memberitahu cucunya bahawa dia dirogol oleh tukang urut tersebut.
"Beberapa bulan lalu, cucu mangsa yang berusia 35 tahun telah membawanya ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan selepas diserang angin ahmar.
"Ketika berbual dengan beberapa penduduk kampung, cucu mangsa diberitahu tentang tentang sikap tukang urut berusia 45 itu yang dikatakan suka mengambil kesempatan terhadap pesakit wanita.
"Dia kemudian pulang ke rumah dan bertanyakan perkara itu kepada mangsa dan neneknya kemudian mengaku bahawa dia telah dirogol ketika dirawat," katanya di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, berikutan itu, cucu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu semalam.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan dan kini ditahan di wad bagi menjalani rawatan penyakitnya itu.
"Susulan itu, polis menyerbu rumah tukang urut terbabit tetapi dia berjaya melarikan diri. Usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan :

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails