Sabtu, 20 Mac 2010

Perlakuan memalukan

SHAH ALAM: Melepak di pusat beli-belah, beriadah di taman tasik, menghabiskan masa melihat orang bermain go-kart dan banyak lagi aktiviti dilakukan pelajar beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sini pada setiap hujung minggu.
Namun, aktiviti segelintir remaja terbabit dikhuatiri boleh mengundang gejala maksiat yang semakin menular dalam kalangan remaja sekarang ini.Tinjauan Metroplus ke beberapa kawasan tumpuan ramai di sekitar bandar raya ini, mendapati pelajar mengisi masa lapang pada hujung minggu melakukan aktiviti bersama pasangan kekasih.
Kawasan seperti Taman Tasik Shah Alam, litar go-kart di stadium dan Dataran Shah Alam dipenuhi pasangan kekasih dipercayai dari kalangan pelajar setiap hujung minggu dari pagi hingga lewat petang menghabiskan masa memadu kasih tanpa menghiraukan segelintir keluarga yang turut berkunjung ke tempat berkenaan.

Berpelukan di bangku taman, duduk berdua-duaan di kawasan sunyi, berpelukan di atas motosikal, berjalan mengelilingi tasik sambil berpegangan tangan dan banyak lagi perlakuan menjolok mata dilakukan mereka mungkin kerana asyik dilamun cinta.

Beberapa warga setempat yang ditemui ketika membawa keluarga bersiar-siar di kawasan riadah di situ, berkata pemandangan sedemikian boleh dilihat pada setiap hujung minggu dan boleh dikatakan sebagai aktiviti rutin mereka.
“Setiap bangku dan sudut di taman tasik ini dipenuhi pasangan kekasih. Sekali tengok pun kita boleh tahu mereka itu pelajar kerana rupa mereka terlalu muda.

“Kadangkala mereka tidak peduli langsung dengan kami yang datang bersama keluarga dan anak-anak. Lebih mengecewakan, kebanyakannya remaja Islam dan ada juga remaja perempuan bertudung,” kata seorang penduduk setempat yang tidak mahu dikenali.

Sementara itu, tinjauan Metroplus ke beberapa kawasan kediaman berhampiran turut mendapati aktiviti dan tingkah laku pelajar yang menginap di kawasan berkenaan membawa kerisauan penghuni lain.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan :

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails