Ahad, 3 Januari 2010

Kalimah Allah: PM minta umat Islam bertenang, rayuan akan dibuat

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak, hari ini meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.

"Kerajaan amat sedar dan prihatin akan pelbagai reaksi yang telah kerajaan terima sejak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

"Isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan terutama sekali umat Islam, kita hendaklah bersikap bertenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah," katanya selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar di Parlimen Pekan, di sini.

"Seperti mana diketahui, rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan," katanya ketika diminta mengulas pelbagai reaksi masyarakat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Najib berkata, Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses rayuan berkenaan.

"Mereka (KDN) akan kemuka rayuan dan saya akan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika Yang di-Pertuan Agong berkenan, akan diberi taklimat, juga taklimat kepada Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau berharap penyelesaian terhadap isu yang amat sensitif itu kelak dibuat dengan penuh kebijaksanaan.

Najib juga berharap isu itu tidak akan diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi serta pelbagai petisyen dan memorandum berhubung perkara itu.

"Saya tak galakkan (umat Islam membuat demonstrasi dan sebagainya), (tapi) saya tahu perasaan di kalangan perasaan umat Islam, mereka merasa begitu terkilan," katanya. - Bernama

Rujukan: Berita Harian

Tiada ulasan :

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails