Selasa, 29 Disember 2009

Jerat cinta Internet

AMPANG: Biarpun baru berkenalan sejak tiga bulan lalu melalui laman sembang sosial, seorang remaja berusia 13 tahun sanggup menyusup keluar dari rumah pada awal pagi semata-mata mahu berjumpa teman lelakinya di Ampang Jaya, Sabtu lalu.

Tindakannya itu membuatkan ahli keluarga bimbang kerana menyangka dia hilang atau dilarikan, namun di sebalik kejadian itu akhirnya membongkar rahsia yang remaja terbabit menjadi mangsa rogol kepada teman lelaki yang baru dikenali.

Kejadian itu bermula apabila remaja berkenaan singgah di rumah neneknya di Ampang bersama keluarga dan menumpang tidur di situ.

Namun, pembantu rumah yang curiga selepas melihat pintu dapur tidak berkunci kira-kira jam 4.30 pagi dan mangga dibiarkan di luar rumah kemudian memberitahu kepada ibu remaja terbabit kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.
Ibu remaja berkenaan yang juga seorang pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang ketika itu tidur di ruang tamu sudah tiada di situ.

Menurut sumber, bimbang remaja terbabit mungkin ditimpa musibah, si ibu akhirnya mengejutkan ahli keluarga lain sebelum mereka mengambil keputusan mencarinya di sekitar kawasan itu.

“Bagaimanapun, selepas kira-kira dua jam mencari, remaja terbabit akhirnya pulang ke rumah, namun keadaannya yang tidak terurus membuatkan ibunya berasa curiga.

“Ibu remaja terbabit kemudian meminta anaknya menceritakan ke mana dia menghilangkan diri dan pengakuan anak gadisnya membuatkan dia terkejut apabila remaja itu mendakwa dia pergi ke rumah teman lelakinya di kawasan Ampang,” katanya.

Sumber itu berkata, remaja berkenaan turut mengakui yang dia sudah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya itu dan memberitahu mereka saling mengenali sejak tiga bulan lalu melalui Internet, namun baru pertama kali bertemu pada malam kejadian terbabit.

“Mendengar pengakuan anak gadisnya itu, wanita terbabit akhirnya membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu berikutan anaknya yang masih di bawah umur.

“Hasil siasatan dan keterangan yang diberikan remaja itu, polis kini sudah mengenal pasti suspek berkenaan dan juga lokasi tempat tinggalnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sumber: Hmetro

1 ulasan :

ieyza berkata...

mudah sangat percaya pada org yang baru kenal...so, itula padahnyer....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails