Sabtu, 7 November 2009

Buru impian


Mesti semat fokus


SAMBIL membimbit buku nota di tangan kirinya, jurulatih Kelantan, B Sathianathan kelihatan begitu serius dan mungkin beliau memikirkan apakah rancangan seterusnya apabila detik penentuan siapakah gerangan bakal membawa pulang Piala Malaysia, hanya berbaki beberapa jam lagi.

Raut wajah beliau jelas membayangkan sesuatu yang bakal dipertaruhkan pada aksi final malam ini selepas beliau diletakkan sebagai sandaran ribuan peminat Kelantan yang mahukan penantian selama 89 tahun berakhir dengan kejayaan di bawah kendaliannya.

Walaupun ramai meletakkan skuad kami sebagai pilihan, saya tidak melihat ia sebagai landasan kepada kemenangan nanti.

“Untuk perlawanan akhir, ia tidak kira pasukan mana, semuanya sama.

“Tapi, kalau ditanya bagaimana peluang Kelantan, saya hanya boleh jelaskan, tunggu keputusan malam esok (malam ini),” katanya.

Kesinambungan daripada itu membuatkan Sathianathan memberi jawapan lebih selamat sambil mengatakan: “Tiada sesiapa pun baik saya atau pemain beraksi tidak mahu menang.

“Semuanya membuat persiapan terbaik. Mereka menjalani latihan dengan begitu gigih dan tidak berbaloi apabila ada mengatakan, kami beraksi untuk tidak mahu menang,” katanya.

Andainya Sathianathan berjaya menjulang piala paling tua ini, namanya pasti diingati semua peminat Kelantan kerana beliau satu-satunya jurulatih pertama membawa pulang piala itu ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit pun belum mampu melegakan dirinya kerana matlamat utama beliau ialah membantu skuad kebangsaan menang terutamanya Kejohanan Pesta Bola Merdeka.

“Kalau anda tanya saya, Piala Malaysia bukanlah tumpuan saya kerana Pestabola Merdeka lebih penting. Walaupun ada mengatakan kita menjemput pasukan ranking bawahan, saya tidak kisah kerana kejohanan ini lebih penting,” katanya.

Sejak mengambil alih tugas daripada Peter Butler beberapa hari menjelang saingan Piala Malaysia, nama Sathianathan tiba-tiba muncul di Kelantan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik beliau mengisi kekosongan itu.

Dan bermula dari itulah, namanya yang kian tenggelam selepas ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana popular dengan komen “Liga Malaysia bukan bola sepak” ketika skuad bimbingan dibelasah 5-0 oleh Emiriah Arab Bersatu pada saingan kelayakan Piala Asia 2011, Januari lalu.



>Tak kisah bukan pilihan



REPUTASI skuad pilihan digalas Kelantan pada final Piala Malaysia 2009, malam ini, menggembirakan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan kerana memudahkan pemainnya beraksi cemerlang tanpa sebarang tekanan.

Situasi itu sememangnya dituntut Wan Jamak, yang menganggap ketenangan antara kunci utama untuk pemain mempamer persembahan terbaik sekali gus beraksi menggunakan taktikal pasukan.

“Saya percaya, pemain Negeri Sembilan tidak banyak tekanan dan ketika ini, mereka dilihat lebih tenang. Ia sesuatu yang menggembirakan pada tempoh genting ini kerana ia mampu mengelakkan pemain melakukan kesilapan.

“Dalam tempoh dua atau tiga hari ini, media massa sering memberi tumpuan terhadap Kelantan kerana mereka pasukan pilihan. Tapi, ia perkembangan terbaik kerana menjadikan kami ‘underdog’, sekali gus mengurangkan tekanan,” katanya.

Prestasi cemerlang Kelantan, finalis Piala FA, terutama bermula peringkat kalah mati Piala Malaysia selain sokongan luar biasa peminat The Red Warriors, menarik perhatian banyak pihak untuk meletakkan mereka sebagai pilihan.

Namun, rekod pertemuan memihak Negeri Sembilan, 3-1, dengan kekalahan tunggal itu hadir menerusi peraturan gol tempat lawan pada peringkat separuh akhir Piala FA.

Final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dijangka diganggu hujan dan bekas jurulatih kebangsaan itu berkata:

“Pemain perlu bijak menyesuaikan diri beraksi atas padang basah kerana kami sudah jalani persiapan hadapi kemungkinan itu.

“Hujan atau tidak, paling penting ialah pasukan mana beraksi paling baik akan memenangi final esok (hari ini),” katanya.

Mengenai kelebihan lawan, Wan Jamak menyifatkan sokongan padu peminat fanatik sejak awal musim memainkan peranan penting terhadap kejayaan skuad kendalian B Sathianathan itu.

“Kelantan bernasib baik kerana memiliki peminat setia yang sentiasa hadir ke stadium setiap kali mereka beraksi.

“Malah, Kelantan mempunyai beberapa pemain skil tinggi terutamanya jentera serangan.

“Kami perlu berhati-hati dengan ancaman itu,” katanya.

Hmetro..Karangan Oleh Lokman Zainal Abidin, Aida Adilah Mat, Alias Abd Rani dan Bazly Azmi

Tiada ulasan :

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails